Mengenali D.Y.M.M Paduka Seri Tuanku Muhriz ibni almarhum Tuanku Munawir

Khamis, Februari 19, 2009

Hampir 2 bulan sudah kemangkatan almarhum Tuanku Ja'afar dan hampir 2 bulan jugalah pemasyuran D.Y.M.M Tuanku Muhriz ibni almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Ramai yang tidak mengenali Tuanku Muhriz dari dekat kerana nama baginda tidak pernah disebut-sebut sebelum ini. Hanya orang-orang lama sahaja yang mengenali baginda sebelum ini. Baginda adalah seorang raja yang baik serta berjiwa rakyat dan sesiapa yang mengenali baginda dengan lebih dekat pasti akan menyenangi sikap baginda yang tenang dan bersahaja. Ada beberapa info yang mengatakan bahawa baginda ingin memindahkan pejabat rasminya ke Istana Seri Menanti, jika benar amatlah molek kerana Seri Menanti adalah merupakan Bandar Diraja yang menjadi tempat rasmi segala adat istiadat.

Sikap Baginda yang sentiasa bertemu rakyat pada setiap hari jumaat di mana baginda akan bersama-sama dengan putera-puteranya menunaikan solat fardu Jumaat di beberapa buah masjid semenjak baginda menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah mendapat perhatian daripada rakyat negeri ini. Rakyat begitu gembira dan bersyukur kerana baginda dilihat mempunyai kewibawaan sebagai pemerintah di alam Negeri Sembilan ini. Orang-orang lama mengatakan baginda mempunyai perwatakan seperti nendanya iaitu almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni almarhum Tuanku Muhammad dan ayahandanya iaitu almarhum Tuanku Munawir ibni almarhum Tuanku Abdul Rahman. Difahamkan bahawa almarhum Tuanku Abdul Rahman adalah seorang raja yang memuliakan Ulama dan sering mengundang ulama-ulama di sekitar Luak Tanah Mengandung ini untuk mengadakan majlis-majlis ilmu yang mana baginda menjadikan istananya sebagai pusat ilmuan agama satu ketika dahulu. Antara ulama yang berperanan besar ialah Maulana Lebai Maadah yang sering dititahkan untuk hadir ke istana mengajar ilmu-ilmu agama kepada rakyat baginda. Dikatakan juga moyang baginda iaitu almarhum Tuanku Muhamad Shah Ibni almarhum Tuanku Antah yang ditabalkan bagi tahun 1888-1933 telah menjemput Tuan Guru Haji Darun Haji Ibrahim yang berasal dari Inderagiri dan bermukim di Semenyih untuk menjadi guru agama di istana. Dikatakan adinda baginda iaitu almarhum Tunku Besar Burhanudin turut menjadi alim di bawah bimbingan ulama ini.

Di masa pemerintahan baginda almarhum Tuanku Abdul Rahman, ulama di negeri adat perpatih ini diberi keutamaan. Baginda bukan sahaja mendekati ulama malah turut menyumbangkan kewangan membina pondok atau sekolah agama, sebagaimana peranan baginda membantu Tuan Guru Lebai Maadah ini dan mewakafkan sebidang tanah untuk Tuan Guru Haji Abdul Majid Abdul Karim di Batu Kikir bagi tapak pondoknya. Di zaman baginda juga, perbahasan agama secara sihat diadakan di istana di antara Lebai Maadah dengan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol. Majlis perbahasan itu dipengerusikan sendiri oleh almarhum Tunku Besar Burhanudin. Baginda pernah juga meminta Lebai Maadah menafsirkan mimpinya apabila baginda bermimpi digelar "Manaf" oleh Raja-raja Melayu. Lebai Maadah menafsirkan baginda akan naik tinggi dan disebut orang selama-lamanya. Antara kelebihan yang dimiliki oleh baginda selepas itu ialah Baginda dilantik sebagai D.Y.M.M Yang Dipertuan Agong pertama dan gambarnya terus dicetak dalam wang kertas negara ini sehingga sekarang.


Photo: Gambar ramai depan Balai Istana Seri Menanti bersama DYMM Tuanku Abd Rahman. Maulana Lebai Maadah duduk paling kiri ( bertarbus) 1939.


Mudah-mudahan dengan Perlantikan Tuanku Muhriz ini akan menyuburkan lagi syiar islam di dalam Negeri Sembilan ini khasnya kerana suatu ketika dahulu Negeri Sembilan pernah dikenali sebagai negeri telapak "ilmu tassawuf" dikalangan rakyat negara ini yang dahagakan ilmu agama ketika itu. Dan ada pendapat yang mengatakan Darul Khusus itu bermaksud khusus kepada ilmu tassawuf yang begitu diminati oleh kalangan rakyat negeri ini dan menjadi bualan hebat pada waktu itu.




Sumber utama : http://maadah.blogdrive.com/

Dikuasakan oleh Blogger.