Social Icons

Khamis, September 05, 2013

Asas Pembentukan Negeri Sembilan

Penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan telah bermula sejak abad ke-15 lagi. Pada awalnya mereka berada dibawah naungan Melaka. Selepas Melaka kalah dalam peperangan dengan Portugis, mereka telah mendapat perlindungan pula daripada Johor. Pada sekitar abad ke-18, Johor telah mula berada dalam keadaan lemah akibat daripada peperangan dan tidak mampu lagi melindungi negeri ini daripada ancaman luar.Oleh kerana itu, Penghulu-Penghulu di negeri ini telah bermuafakat untuk mengadap Raja Alam Minangkabau bagi mendapatkan seorang raja. Akhirnya Raja Alam berkenan untuk mengutus Raja Melewar untuk dirajakan di negeri ini.

Ketibaan Raja Melewar dari Pagaruyung, Minangkabau pada 1773 telah memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Raja Melewar adalah merupakan anak raja dari Pagaruyong, Minangkabau. Nama sebenar Baginda ialah Raja Mahmud iaitu putera kepada Yang Dipertuan Sakti Sultan Abdul Jalil Johan Berdaulat (Tuanku Raja Alam Muningsyah I), Raja Alam Minangkabau 1739-1780, Sumatera. Sebelum Raja Melewar berangkat ke Negeri Sembilan, Yang DiPertuan Sakti Sultan Abdul Jalil terlebih dahulu telah memerintahkan seorang kerabat diraja bernama Raja Khatib untuk pergi lebih awal bagi membuat persiapan menyambut kedatangan Raja Melewar ke Negeri Sembilan. Bagaimanapun setelah sampai ke Seri Menanti, Raja Khatib telah mengaku sebagai anak raja yang diutus dari Pagaruyung, Minangkabau. Penghulu Luak Ulu Muar yang bernama Penghulu Naam telah terpedaya lalu mengangkat Raja Khattib sebagai raja di negeri ini dan turut mengahwinkan anak perempuannya iaitu Warna Emas dengan Raja Khatib.

(Mengenai tahun kedatangan Raja Melewar ke negeri ini terdapat banyak percanggahan pendapat, ada pendapat yang mengatakan baginda tiba pada tahun 1700 dan ada juga yang mengatakan pada tahun 1728. Jika dilihat kepada tahun Sultan Abdul Jalil menjadi Raja Alam Minangkabau (seperti di atas), ternyata kedatangan Raja Melewar ke negeri ini adalah di sekitar tahun 1773 amatlah bersesuaian. Ini kerana, adakah mungkin Raja Melewar dirajakan di negeri ini pada tahun 1700 atau 1728 sedangkan Ayahanda iaitu Sultan Abdul Jalil belum lagi menjadi Raja Alam pada ketika itu-sekadar pandangan).

Sementara itu angkatan Raja Melewar dari Pagaruyung mula belayar menuju ke Tanah Melayu. Sebelum ke Negeri Sembilan, Raja Melewar telah terlebih dahulu singgah di Siak sebagai kerajaan yang bertali dengan Minangkabau dan perjalanan baginda yang seterusnya turut diiringi oleh kira-kira 500 orang hulubalang dari Siak. Kemudian baginda telah mengadap pula Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil (keturunan bendahara) untuk mendapatkan perkenan Baginda selain dianugerahkan cap mohor sebagai lambang kuasa kerajaan yang berdaulat (ada pendapat mengatakan bahawa Raja di Siak yang memberikan Cop Mohor kerana Raja Siak pun bergelar Sultan Abdul Jalil) untuk memerintah alam Negeri Sembilan seperti perbilangan adat mengatakan:

"Beraja ke Johor
 Bertali ke Siak
 Bertuan ke Minangkabau"

Selepas permahsyuran itu, Raja Melewar bersama dengan angkatannya berangkat menuju ke Negeri Sembilan melalui Naning dan seterusnya ke Linggi. Sampai sahaja di Linggi, angkatan Raja Melewar telah bertempur dengan angkatan perang Bugis dibawah pimpinan Daeng Kemboja. Dalam pertempuran yang hebat itu, angkatan perang Bugis pimpinan Daeng Kemboja telah berjaya dikalahkan dan seterusnya melarikan diri. Raja Melewar kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Rembau dan telah ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum pertabalan itu, sembilan luak iaitu Naning, Jelai, Sungai Ujong, Johol, Rembau, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang dan Segamat telah bersetujuan untuk menumpahkan taat setianya untuk dipertuankan Raja Melewar. Selepas pertabalan itu, Raja Melewar memimpin satu angkatan perang untuk menyerang Raja Khatib di Seri Menanti. Mendengar sahaja perkhabaran itu maka Raja Khatib telah lebih awal lagi melarikan diri. Penghulu Naam akhirnya terpaksa bertindak sendirian bersama pengikutnya untuk berhadapan dengan angkatan perang Raja Melewar. Dalam peperangan itu, Penghulu Naam telah berjaya ditangkap dan dikhabarkan sebanyak tiga kali juga Raja Melewar meminta Penghulu Naam menumpahkan taat setianya kepada Baginda namum beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Raja Khatib adalah raja yang sebenar dan akhirnya beliau telah dijatuhi hukuman pancung. Selepas itu Raja Melewar kembali semula ke Penajis dan bersemayam di sana. Setelah beberapa lama bersemayam di Penajis, akhirnya Raja Melewar memutuskan untuk kembali ke Seri Menanti kerana di sana telah tersedia Istana dan tempat untuk baginda bersemayam yang mana merupakan anugerah daripada Penghulu Luak Ulu Muar kepada Baginda. Berkenaan daripada peristiwa itu maka terungkaplah perbilangan adat yang mengatakan:

"Tanah Kerjan di Penajis
 Tanah Mengandung di Seri Menanti"

Ungkapan ini membawa maksud bahawa Tempat pertabalan di Penajis, tempat bersemayam (tempat yang mengandungkan anak-anak raja) di Seri Menanti.

Berikut adalah merupakan Raja atau Yamtuan yang pernah menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan:

1. Raja Melewar @ Raja Mahmud
2. Yamtuan Hitam @ Raja Hitam
3. Yamtuan Lengang Laut @ Raja Ali
4. Yamtuan Radin @ Tuanku Radin Sunnah
5. Yamtuan Imam (Al Marhum janggut) @ Tuanku Ulin (Raja Ujong)
6. Yamtuan Antah @ Tuanku Antah
7. Tuanku Muhammad Syah
8. Tuanku Abdul Rahman
9. Tuanku Munawir
10. Tuanku Ja'afar
11. Tuanku Muhriz

Semasa Kemangkatan Yamtuan Imam, telah berlaku perbalahan antara Tuanku Antah Putera Yamtuan Radin dengan Tunku Ahmad Tunggal Putera Yamtuan Imam. Dengan kesepakatan daripada pembesar-pembesar negeri, maka Tuanku Antah telah ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Akibat dari tindakan itu, Sungai Ujong, Rembau dan Jelebu telah isytiharkan keluar dari naungan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kecuali Johol dan akhirnya Tuanku Antah hanya berkuasa di Seri Menanti sahaja. Tunku Ahmad Tunggal tidak berpuas hati dengan perlantikan itu telah bertemu dengan Dato' Klana Sungai Ujong untuk memohon pertolongan. Pada masa itu Dato' Klana Syed Abdul Rahman turut berbalah dengan Tuanku Antah mengenai tuntutan ke atas Luak Terachi yang dikatakan berada dalam wilayah adat Dato' Klana. Kemuncak kepada krisis itu Dato' Penghulu Luak Terachi yang dilantik oleh Dato' Klana Sendeng sebelum ini telah dipecat oleh Tuanku Antah. Dato' Klana Syed Abdul Rahman turut berbalah dengan Dato' Syahbandar Tunggal mengenai kutipan cukai di Sungai Ujong. Walaubagaimanpun, Tindakan Dato' Syahbandar Tunggal itu telah mendapat sokongan dari Tuanku Antah. Sungai Ujong yang sebelumnya telah menerima seorang Residen British telah menghasut Dato' Klana untuk berperang dengan Tuanku Antah. Pemecatan Dato' Terachi dan juga tuntutan Tunku Ahmad Tunggal untuk menjadi Yamtuan Seri Menanti telah dijadikan alasan oleh pihak British untuk mendesak Dato' Klana menyerang Seri Menanti.

Pada tahun 1875 telah meletusnya Perang Bukit Putus antara angkatan perang Tuanku Antah yang dipimpin oleh Imam Perang Seri Menanti iaitu Dato' Siamang Gagap dengan angkatan perang Dato' Klana yang dibantu oleh British. Dalam peperangan yang pertama itu angkatan Tuanku Antah telah berjaya menawan Paroi. Namum pada peperangan kali yang kedua pasukan Tuanku Antah telah mengalami kekalahan kerana pihak british telah dibantu oleh tentera dari Negeri-Negeri Selat. Akibat dari kekalahan itu, Seri Menanti terpaksa menerima seorang Residen british yang mana kekuasaan Tuanku Antah hanya tertakluk di Seri Menanti sahaja, sedangkan Dato' Klana hanya mendapat lebih kuasa sahaja di Sungai Ujong. Begitulah permainan pihak British untuk melaga-lagakan pemimpin melayu supaya mereka senang menjajah negeri ini. Sebenarnya pihak British banyak belajar dari pahit getir pihak Belanda untuk menjajah tanah Minangkabau, Ini adalah kerana Belanda terpaksa mengambil masa puluhan tahun untuk mejajah sepenuhnya tanah Minangkabau sedangkan di tempat-tempat lain tidaklah segetir ini. Pada waktu itu penduduk Minangkabau bersatu untuk melawan penjajah Belanda walaupun pada awalnya ada perbalahan antara golongan adat yang di pimpin oleh Raja Alam Minangkabau dan golongan ulama yang diketuai oleh Tuanku Imam Bonjol. Antara pahlawan yang digeruni oleh Belanda adalah Tuanku Imam Bonjol, Sultan Alam Bagagar Syah dan kumpulan Harimau Nan Selapan.

Negeri Sembilan juga adalah merupakan negeri yang mempunyai pihak yang ramai menentang British. Hampir semua Luak di dalam negeri ini turut melancarkan penentangan terhadap pihak British. Selain Tuanku Antah dan Dato' Siamang Gagap dari Seri Menanti, Undang Rembau Dato' Haji Sahil, Bilal Ismail Jelebu dan Dato' Syahbandar Tunggal Abdullah Ahmad Sungai Ujong turut terlibat menentang British. Terawal lagi daripada itu ialah Perang Naning antara Dato' Seri Merah Raja Dol Said dengan pihak British sekitar tahun 1831. Disebabkan perkara itu, pihak British awal-awal lagi telah memecahkan Luak Naning dari persekutuan Negeri Sembilan dan di masukkan ke dalam Melaka dan berada di bawah Negeri-Negeri Selat. Rembau dan Jelebu juga turut terpaksa menerima seorang penolong Residen British selepas Sungai ujong dan Seri Menanti. Cita-cita pihak British untuk menyatukan semula Negeri Sembilan bagi memudahkan mereka menjajah negeri ini akhirnya berhasil apabila satu perjanjian telah dibuat antara Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau untuk mengiktiraf Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bagi menggantikan ayahandanya. Sesuai dengan perbilangan adat mengatakan:

"Bulat Anak Buah Melantik Buapak
 Bulat Buapak Melantik Lembaga
 Bulat Lembaga Melantik Undang/Penghulu
 Bulat Undang Melantik Raja"

Dengan termetrainya perjanjian itu maka Undang Yang Empat mesti menumpahkan taat setianya kepada Kebawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Hasil dari termeterainya perjanjian itu, maka sekali lagi terbentuklah Negeri Sembilan seperti yang ada pada hari ini.

Isnin, September 02, 2013

Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar

          Luak Ulu Muar adalah merupakan bahagian daripada Luak Tanah Mengandung. Sebahagian besar Luak ini adalah berada di dalam Daerah Kuala Pilah. Pentadbiran Luak ini diketuai oleh seorang Penghulu Luak yang bergelar Y.M Datuk Bendahara Setia Maharaja, Setia Maharaja Lela Pahlawan Memerintah Luak 'Penghulu Berlantai Kulit'. Terdapat 12 suku yang mendiami sekitar Luak ini antaranya ialah Suku Seri Lemak Pahang. Suku Seri Lemak Pahang pula terbahagi kepada dua kumpulan di luak ini iaitu Suku Seri Lemak Pahang Dato' Baginda Maharaja (To' Gindo) dan Suku Seri Lemak Pahang Dato' Bangsa Balang. Asal Suku Seri Lemak Pahang ini sebenarnya adalah dari Sari Lamak, Minangkabau, Sumatera. Penghijrahan mereka dikhabarkan bermula dari Minangkabau ke Siak, dan seterusnya melanjutkan perjalanan ke Johor sebelum bermukim di sekitar Pahang seperti di Mengkarak, Temerloh, Bentong, Ulu Tembeling, Raub dan Lipis. Kemudian mereka telah berhijrah ke Negeri Sembilan yang mana terdapat ramai orang Minangkabau telah bermukim di sana dengan menyusuri laluan di Luak Jempol dan seterunya ke Seri Menanti. Oleh kerana itulah suku ini diberi gelaran dihujungnya "Pahang" bagi membezakan antara suku Seri Lemak yang lain. Kebiasaannya setiap suku mesti mempunyai ketua sesuai dengan perbilangan adat yang mengatakan:

 "Raja beralam, 
  Undang/Penghulu berluak
  Lembaga berlingkungan
  Buapak beranak buah
  Anak buah bersuku-suku"

          Bagi suku Seri Lemak Pahang (To' Gindo) Luak Ulu Muar, ketua yang memimpin suku ini adalah Datuk Lembaga yang bergelar Y.M Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'. Suatu masa dahulu Datuk Baginda Maharaja adalah merupakan "Ayah" kepada penghulu Luak Ulu Muar. Ini adalah kerana, ketika Luak Ini belum berpenghulu, Datuk-Datuk Lembaga di Luak ini telah sepakat untuk mengadap Penghulu Luak Inas iaitu Datuk Bayan bagi menyatakan hasrat untuk meminta seorang anaknya untuk dijadikan baka penghulu di Ulu Muar. Untuk memenuhi permintaan itu, maka Datuk Penghulu Luak Inas telah menghantar anak perempuannya iaitu Senduk Emas yang bersukukan Biduanda Waris untuk dijadikan penghulu di Luak Ulu Muar dengan membawa gelaran Penghulu Berlantai Kulit. setelah kembali ke Ulu Muar, Senduk Emas telah dikahwinkan dengan seorang pemuda yang baik iaitu Khatib Akhir yang kemudiannya bergelar Baginda Maharaja dan telah ditempatkan di Padang Biawas, Sungai Layang, Seri Menanti. Hasil dari perkongsian hidup telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Naam dan kemudiannya telah dilantik menjadi penghulu di Luak Ulu Muar. Semasa Penghulu Naam masih kecil, segala tanggungjawab hal ehwal penghulu telah dipangku sepenuhnya oleh ayah beliau iaitu Dato' Baginda Maharaja Khatib Akhir. Apabila ada sahaja Datuk-Datuk mahupun rakyat yang datang mengadap Penghulu, maka haluan sembahnya itu tadi berdatang kepada beliau sambil Penghulu Naam duduk dipangkuannya. Atas jasa dan perngorbanan ini jugalah maka menjadi salah satu faktor beliau dikurniakan gelaran Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'.

          Suku Seri Lemak Pahang adalah merupakan salah satu suku yang terbesar di Luak Ulu Muar. Ini adalah kerana, terdapat 6 perut yang berkembang di dalam suku ini antaranya ialah Perut Merual, Perut Kuala Parit Terachi, Perut Kampung Tengah, Perut Pilah, Perut Seberang Muar, dan Perut Pelangai. Setiap daripada perut ini diketuai oleh seorang Buapak yang mana organisasinya adalah seperti berikut:

Suku: Suku Seri Lemak Pahang, 

Datuk Lembaga: Y.M Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'

Buapak Perut Merual: To' Maharaja Kanda
Buapak Perut Kuala Parit TerachiTo' Paduka Maharaja
Buapak Perut Kampung Tengah: To' Amar Pahlawan
Buapak Perut Pilah: To' Paduka Seri Maharaja
Buapak Perut Seberang Muar: To' Paduka Seraja
Buapak Perut Pelangai: To' Paduka Serama

        Selain daripada Buapak terdapat juga jawatan lain yang membantu dalam melicinkan pentadbiran didalam suku iaitu Besar Waris ataupun Pegawai 99. Setiap perut di dalam suku ini mempunyai Besar Waris sekurang-kurangnya seorang. Selain dari membantu buapak, mereka juga sebenarnya adalah merupakan hulubalang istana yang mana mereka mempunyai tugas-tugas khas di Istana seperti hari ulang tahun D.Y.M.M Tuanku Yang DiPertuan Besar, hari Pertabalan Tuanku dan lain-lain.

Besar Waris Perut Merual: i)   To' Mangku
                                          ii)  To' Satey
                                          iii) To' Jonso
Besar Waris Perut Kuala Parit Terachi: i) To' Niko
Besar Waris Perut Kampung Tengah: i) To' Menteri Hakim
Besar Waris Perut Pilah: i) To' Gompo
                                      ii) To' Alang
Besar Waris Perut Seberang Muar: i) To' Memperang
Besar Waris Perut Pelangai: i) To' Raja Pahlawan
                                           ii) To' Hakim Menteri

Gambaran organisasi Suku Seri lemak Pahang

Pemegang secara kronologi

Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar juga mempunyai satu lagi jawatan pemangku Datuk Lembaga iaitu To' Mangku. Peranan To' Mangku kebiasaanya menggantikan tugas-tugas Datuk Lembaga sekiranya berlaku keuzuran atau perkara yang tidak dapat dielakkan untuk satu tempoh masa yang lama. Untuk melantik To' Mangku, selalunya akan dipilih dari Perut Merual kerana perut ini adalah merupakan yang tua dikalangan perut-perut yang lain. Perut-perut yang dinyatakan seperti di atas sebenarnya ada pertalian antara satu sama lain seperti berikut:

Perut Merual 'bertali' dengan Perut Kuala Parit Terachi
Perut Kampung Tengah 'bertali' dengan Perut Pilah dan
Perut Ulu Muar 'bertali' dengan Perut Pelangai

Sungguhpun begitu, setiap dari perut itu adalah bersaudara dan tetap dari alur yang sama.

          Datuk Lemabaga Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar jni juga adalah merupakan salah seorang 'Orang Besar Luak'. Ini adalah kerana peranan Datuk Baginda Maharaja sebagai orang yang berkait rapat dengan keluarga Penghulu Luak Ulu Muar seperti yang telah diceritakan di atas. Seperti suku-suku yang lain, perlantikan Datuk Lembaga juga adalah mengikut giliran. Sebagai contoh, Perut Merual adalah yang paling awal dan kemudiannya akan pergi ke Perut Kuala Parit Terachi dan seterunya ke Perut Kampung Tengah dan kemudiannya ke Perut Pilah. Kemudian itu diikuti pula dengan Perut Seberang Muar dan akhir sekali adalah Perut Pelangai. Aturan ini akan berulang kepada yang awal apabila telah lengkap pusingan tersebut. Walaubagaimanapun ianya bergantung kepada perut yang bertali dan juga keadaan calon. Sekiranya Perut Merual tiada calon yang memohon maka Perut Kuala Parit Terachi boleh memohon begitu jugalah sebaliknya. Semuanya ini bergantung kepada kemuafakatan antara Ibu-Ibu Soko dan Anak Buah sesuai dengan perbilangan adat menyatakan:

"Bulat air kerana pembetong
 Bulat manusia kerana muafakat"

Kesepakatan sebegini amatlah perlu untuk mengelakkan wujudnya sebarang pertelagahan mahupun pertikaian antara satu sama lain dalam memutuskan sesuatu hal-hal yang berkaitan.

* Suku Seri Lemak Pahang Dato' Baginda Maharaja dan Suku Seri Lemak Pahang Dato' Bangsa Balang Dibolehkan semenda menyemenda antara satu sama lain. 
 
Blogger Templates