Pada 1hb Mac yang lalu telah di adakan satu majlis kenduri beradat iaitu Istiadat Kerjan YM Dato' Baginda Maharaja Haji Salleh bin Ahmad selaku Lembaga Suku Serilemak Pahang Luak Ulu Muar yang baru. Istiadat dimulai dengan tembakan Lamat sebanyak 2 das sebagai tanda istiadat bermula.
1. Mengiringi YM Dato' Baginda Maharaja ke tempat Berlangir Bedak Limau adalah terdiri daripada Buapak-Buapak, Besar-Besar Waris dan juga Ibu-Ibu Soko serta anak-anak dara/inang pengiring.
2. Istiadat Berlangir Bedak Limau adalah upacara bersiram Dato' Lembaga yang baru yang bertujuan untuk menyucikan diri zahir dan batin sebelum menggalas tugas dan amanah sebagai ketua di dalam sukunya. Seramai 6 orang Buapak iaitu dari Perut Merual, Kuala Parit Terachi, Kg. Tengah, Pilah, Seberang Muar (Penyandang) dan Pelangai berperanan untuk menyempurnakan istiadat bersiram Dato Lembaga yang dikerjankan. Lafaz pembuka bicara sebagai tanda majlis bermula telah di zahirkan oleh Dato' Paduka Seraja (Seri Raja) selaku Buapak bagi perut Seberang Muar (perut yang menyandang).
Dato' Paduka Maharaja Buapak Perut Parit Terachi / Kuala Parit
Dato' Amar Pahlawan Buapak Perut Kg, Tengah
Dato' Paduka Seri Maharaja Buapak Perut Pilah
Dato' Seri Maharaja Buapak Parit Pilah
Dato' Paduka Seraja (Seri Raja) Buapak Perut Seberang Muar
Dato' Paduka Serama (Seri rama) Buapak Perut Pelangai
* Buapak Perut Merual iaitu Dato' Maharaja Kanda tidak hadir atas hal-hal tertentu.
* Bagi Buapak Parit Pilah adalah dikira sebagai Perut Pilah. Jawatan ini diwujudkan atas sebab-sebab yang tertentu dan tidak akan diganti lagi sekiranya berlaku kekosongan. Walaupun terdapat 7 orang Buapak tetapi pada perkiraan asal hanyalah 6 orang sahaja.
3. Menyambut Kesampaian dan berarak masuk Kebawah Kaus YM Dato' Penghulu Luak Ulu Muar Dato' Bendahara Setia Maharaja, Setia Maharaja Lela Pahlawan, Orang Besar Luak, Dato'-Dato' Lembaga, Buapak-Buapak dan Besar-Besar Waris. (Tembakan 4 das Lamat)
4. YM Dato' Baginda Maharaja diarak masuk ke rumah telapak bagi istiadat pengisytiharan Hj. Salleh Bin Ahmad sebagai YM Dato' Baginda Maharaja oleh Buapak perut yang menyandang iaitu Dato' Paduka Seri Raja (lafaz pengisytiharan oleh Dato' Paduka Seri Raja dan ucapan YM Dato' Baginda Maharaja). Kemudian diikuti pula istiadat merafak sembah oleh Buapak-Buapak, Besar-Besar Waris, Ibu-Ibu Soko dan juga anak-anak buah dari Suku Serilemak Pahang Luak Ulu Muar. Tembakan 4 das Lamat sebagai tanda istiadat merafak sembah bermula.
5. Setelah Selesai istiadat merafak sembah, majlis diteruskan dengan makan beradat dan jamuan untuk anak-anak buah dan orang ramai.
6. Akhir sekali ialah istiadat menurukan alat-alat kebesaran Luak Ulu Muar sebagai tanda istiadat telah selesai. (Tembakan 2 das Lamat)
1. Perut Terachi - Kawasan yang agak besar dan sukar untuk dikenal pasti lokasinya.
2. Perut Parit - kawasan Parit adalah dalam Luak Terachi
3. Perut Lanjut Manis atau Tanjong Petai atau Ibol - Tiada dijumpai dalam mana-mana buku.
Namun setelah dikaji dan diteliti, nama Perut Kuala Parit atau kuala Parit Terachi yang lebih sinonim disebut Parit Tarachi adalah yang paling bersesuaian kerana majoritinya adalah bersuku Serilemak Pahang Luak Ulu Muar. Selain itu, JKKK Kuala Parit Terachi juga meliputi Kampung Kuala Parit, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanjong Petai dan sebahagian kecil Kampung Ibol.


















2 ulasan:
terima kasih saudara
Satu nilai tradisi yang cukup unik. Perlu di pupuk kepada generasi kini supaya tak lapuk dek hujan, tak lokang dek paneh.
Catat Ulasan