Social Icons

Pages

Isnin, Mac 16, 2009

Pejuang Bahasa Yang Tulin

Pendeta Za'ba
Pemuda Melayu pertama dari Negeri Sembilan yang menamatkan tingkatan satu ke Senior Cambridge dalam tempoh enam tahun.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba adalah merupakan pejuang bahasa yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan Bahasa Melayu sehingga kini. Perjuangan beliau semasa zamannya telah dapat mendaulatkan Bahasa Melayu sehingga ke peringkat yang tertinggi. Beliau juga telah menyusun dan menstruktur semula Bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya dan menjadikan ianya antara salah satu bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia. Penulisan mata penanya amat ditakuti dan digeruni oleh penjajah Inggeris sehingga banyak karyanya mengenai kemunduran bangsa Melayu ketika itu telah disekat penyebarannya. Perjuangan beliau ini bukanlah untuk meraih sebarang ganjaran ataupun imbuhan, tetapi ianya dilakukan semata-mata untuk mendaulat bangsa Melayu secara menyeluruh. Tetapi selepas pemergian beliau ke Rahmatullah pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78, apa yang pernah beliau perjuangkan suatu ketika dahulu telah dihakis teruk sedikit demi sedikit sehingga antara satunya ialah dengan terlaksanya sistem pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Sebelum itu, tulisan jawi telah menjadi mangsa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga ianya dipinggirkan dan akhirnya telah menyebabkan mayarakat Melayu buta Jawi. Banyak kitab-kitab hebat karang ulama serta ilmuan terdahulu telah sukar untuk dipelajari dan difahami oleh masyarakat kini kerana kebanyakan kitab tersebut ditulis dalam tulisan jawi. Suatu hari nanti bahasa melayu juga akan menerima nasib yang sama seperti tulisan jawi di mana, orang Melayu sendiri sudah tidak dapat lagi membaca serta menulis dalam Bahasa Melayu. Akhirnya bangsa melayu akan hilang ketuanannya dan pada ketika itu bangsa kita tidak akan dihormati lagi oleh masyarakat dunia. Bukan mudah untuk kita mendaulatkan semula Bahasa Melayu apabila ianya telah hilang atau lenyap dari ketuanan bangsa kita. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama mempertahankan serta mendaulatkan Bahasa Melayu sehingga ke akar umbi supaya ianya terpelihara dan akan terus subur sepanjang zaman. Apa yang kita lakukan hari ini adalah merupakan pemangkin kepada kejayaan anak-anak bangsa kita untuk meneruskan kesinambungan ini pada masa-masa yang mendatang.
 
Blogger Templates