Social Icons

Pages

Ahad, Oktober 27, 2013

Universiti Al Azhar Bakal Dibina Di Negeri Sembilan

Universiti al-Azhar di Malaysia, suatu berita gembira

BENARKAH pendapat mengatakan “Berbangkitnya Islam adalah di Malaysia".
Daripada Tsauban r.a dia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, akan datang Panji-Panji Hitam (kekuasaan) dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka (pendukung-pendukung) umpama kepingan-kepingan besi (jiwa yang berani). Barang siapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’atlah kepada mereka sekalipun harus merangkak di atas salji. (Dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Naim)
Negara Timur tempat perjuangan pemimpin tersebut terletak di pertemuan tiga buah laut.
Saya tidak mahu ulas panjang mengenainya, tetapi berdasarkan beberapa bacaan, “negeri yang terletak di pertemuan tiga buah laut" itu ialah Semenanjung Malaysia yang kita duduki ini.
Mungkin kerana itu ada antara negara kuasa-kuasa besar berlumba-lumba mahu mengikat perjanjian dengan kita, yang dibimbangi oleh Tun Dr. Mahathir sebagai satu unsur “penjajahan baru" ke atas negara kita. Allahualam.
Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah keputusan Sheikhul al-Ahzar, Syeikh Dr. Ahmed al-Tayyib membenarkan Universiti al-Azhar mendirikan kampus cawangan pertamanya di luar kota raya Kaherah dan di luar Mesir. Mengikut Perlembagaan universiti itu, ia hanya dibenarkan didirikan di sekitar Kaherah atau di Mesir sahaja. Jika ada pun di luar negara ialah program berkembar dan bukan kampus cawangan.
Namun, kini kampus cawangan pertamanya di dunia akan terletak di sebuah negara di Timur, iaitu Malaysia.
Oleh itu tidak sia-sia Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh diutuskan oleh Kabinet ke Mesir untuk mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara yang bergolak itu.
Pelajar pun boleh dikeluarkan dan perjanjian pun termeterai untuk mendirikan kampus di negara ini.
Turut hadir bersama-sama rombongan Idris ialah Datuk Yahya A. Jalil, seorang usahawan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd., syarikat yang memperoleh lesen daripada universiti itu untuk mengendalikan institusi itu.
Syukur alhamdulillah, Malaysia mencatat sejarah gembira kerana universiti tertua di dunia itu akan mewujudkan kampus cawangan yang pertama (kampus tetap) di negara ini.
Ia akan dikenali sebagai Universiti al-Azhar Kampus Tuanku Muhriz, Malaysia terletak di Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sementara menunggu pembinaannya siap, para pelajar akan ditempatkan di kampus sementara di Pajam, Mantin, Negeri Sembilan.
Yahya ke Mesir bersama-sama rombongan itu kerana mewakili DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selaku Penaung Diraja Universiti al-Azhar Kampus Tuanku Muhriz, Malaysia.
Yahya, selaku ahli Lembaga Pengarah, membawa perutusan dan berbincang mengenai penubuhan dan pelaksanaan Universiti al-Azhar di Malaysia.
Dengan persetujuan Sheikhul al-Azhar itu, satu jawatankuasa bersama telah diwujudkan semasa perbincangan tersebut.
Ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan berita gembira bagi kedua-dua pihak iaitu universiti dan negara Malaysia.
Kewujudan Universiti al-Azhar di Kuala Pilah itu akan menawarkan pendidikan kepada sebilangan besar pelajar dalam negara bahkan pelajar dari seluruh dunia Islam khususnya dari dunia sebelah Timur.
Saya sempat bertanyakan dengan Yahya, yang juga seorang sahabat lama, apa yang membuka hati Sheikhul al-Azhar bersetuju dengan cadangan itu?
Yahya berkata, tiga perkara yang membuka hatinya menerima cadangan itu. Pertama, wujudnya persefahaman ukhwah yang lama antara universiti dan negara ini; kedua, keupayaan Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd. untuk melaksanakannya dan ketiga, pendekatan kerajaan Malaysia yang mengamalkan dasar Wasatiyyah atau Kesederhanaan yang juga diterapkan oleh universiti itu.
Kita juga, katanya mengamalkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut sealiran dengan universiti itu.
“Malaysia ialah negara yang tepat, ekonomi adalah baik, aman dan sejahtera," kata Yahya memetik kata-kata Sheikhul al-Azhar itu.
Cadangan itu merupakan initiatif syarikat itu sejak tiga tahun lalu apabila Presiden Universiti al-Azhar memeterai MoU sambil disaksikan Tuanku Muhriz di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan kira-kira dua tahun lalu.
Ia juga adalah idea bersama Tuanku Muhriz yang melakukan lawatan ke universiti itu dan bertemu dengan para sarjana dan juga Sheikhul al-Azhar.
“Sejak itu kerja-kerja asas diatur sehinggalah kepada persetujuan sepenuhnya hari ini.
“Ini adalah hadiah paling gembira buat rakyat Malaysia, kerajaan dan seluruh bakal pelajar dari rantau ini," katanya.
Yahya berkata, buat permulaan sebanyak 300 pelajar akan diambil untuk jurusan Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab dan jumlahnya menjadi sekitar 1,000 orang dalam tempoh tiga tahun ini.
Kampus tetap di Ulu Bendul, Kuala Pilah ialah seluas 200 ekar.
Mengikut sejarahnya, Universiti al-Azhar (atau juga al-Azhar al-Shareef bermaksud Azhar yang Mulia), adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan.
Mula dibina pada 969 SM, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.
Universiti al-Azhar dibina oleh kerajaan Fatimiyyah (memerintah 909-1171) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahannya. Universiti ini asalnya dibina sebagai Masjid al-Azhar. Pada masa dulu, masjid merupakan pusat pelbagai aktiviti orang Islam termasuklah pendidikan.
Dinasti Fatimid di Mesir, keturunan Fatimah, anak perempuan Rasulullah SAW. Fatimah dikenali sebagai Az-Zahra (yang pintar), dan universiti ini mengambil nama tersebut sebagai penghormatan kepada beliau.
Pengajian bermula di al-Azhar pada bulan Ramadan, 975 SM. (Jami‘ah) Universiti memiliki fakulti dalam Undang-undang Islam dan perundangan (jurisprudence), nahu Arab (Arabic grammar), Ilmu Falak (Islamic astronomy), falsafah awal Islam, dan logik.
Pada abad ke-12, dengan kejatuhan dinasti Shia Fatimid, Sultan Saladin (pengasas Dinasti Ayyubid Sunni) menukar al-Azhar menjadi pusat pembelajaran Sunni Shafi‘ite.
Pada 1961, al-Azhar dirombak kembali di bawah kerajaan Presiden Mesir kedua, Presiden Gamal Abdel Nasser dan beberapa fakulti sekular ditambah ke universiti tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, dan pertanian. Fakulti wanita Islam turut ditambah pada tahun yang sama.
Syabas Malaysia!






Merafak setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diatas keperihatinan baginda untuk memertabatkan pendidikan dan penyebaran syiar islam khususnya di Malaysia dan amnya  di seluruh rantau Asia ini. Tidak ketinggalan juga sekalung tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana bersama-sama membantu untuk merialisasikan hasrat yang murni ini.

 
Blogger Templates