Social Icons

Pages

Isnin, September 02, 2013

Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar

          Luak Ulu Muar adalah merupakan bahagian daripada Luak Tanah Mengandung. Sebahagian besar Luak ini adalah berada di dalam Daerah Kuala Pilah. Pentadbiran Luak ini diketuai oleh seorang Penghulu Luak yang bergelar Y.M Datuk Bendahara Setia Maharaja, Setia Maharaja Lela Pahlawan Memerintah Luak 'Penghulu Berlantai Kulit'. Terdapat 12 suku yang mendiami sekitar Luak ini antaranya ialah Suku Seri Lemak Pahang. Suku Seri Lemak Pahang pula terbahagi kepada dua kumpulan di luak ini iaitu Suku Seri Lemak Pahang Dato' Baginda Maharaja (To' Gindo) dan Suku Seri Lemak Pahang Dato' Bangsa Balang. Asal Suku Seri Lemak Pahang ini sebenarnya adalah dari Sari Lamak, Minangkabau, Sumatera. Penghijrahan mereka dikhabarkan bermula dari Minangkabau ke Siak, dan seterusnya melanjutkan perjalanan ke Johor sebelum bermukim di sekitar Pahang seperti di Mengkarak, Temerloh, Bentong, Ulu Tembeling, Raub dan Lipis. Kemudian mereka telah berhijrah ke Negeri Sembilan yang mana terdapat ramai orang Minangkabau telah bermukim di sana dengan menyusuri laluan di Luak Jempol dan seterunya ke Seri Menanti. Oleh kerana itulah suku ini diberi gelaran dihujungnya "Pahang" bagi membezakan antara suku Seri Lemak yang lain. Kebiasaannya setiap suku mesti mempunyai ketua sesuai dengan perbilangan adat yang mengatakan:

 "Raja beralam, 
  Undang/Penghulu berluak
  Lembaga berlingkungan
  Buapak beranak buah
  Anak buah bersuku-suku"

          Bagi suku Seri Lemak Pahang (To' Gindo) Luak Ulu Muar, ketua yang memimpin suku ini adalah Datuk Lembaga yang bergelar Y.M Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'. Suatu masa dahulu Datuk Baginda Maharaja adalah merupakan "Ayah" kepada penghulu Luak Ulu Muar. Ini adalah kerana, ketika Luak Ini belum berpenghulu, Datuk-Datuk Lembaga di Luak ini telah sepakat untuk mengadap Penghulu Luak Inas iaitu Datuk Bayan bagi menyatakan hasrat untuk meminta seorang anaknya untuk dijadikan baka penghulu di Ulu Muar. Untuk memenuhi permintaan itu, maka Datuk Penghulu Luak Inas telah menghantar anak perempuannya iaitu Senduk Emas yang bersukukan Biduanda Waris untuk dijadikan penghulu di Luak Ulu Muar dengan membawa gelaran Penghulu Berlantai Kulit. setelah kembali ke Ulu Muar, Senduk Emas telah dikahwinkan dengan seorang pemuda yang baik iaitu Khatib Akhir yang kemudiannya bergelar Baginda Maharaja dan telah ditempatkan di Padang Biawas, Sungai Layang, Seri Menanti. Hasil dari perkongsian hidup telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Naam dan kemudiannya telah dilantik menjadi penghulu di Luak Ulu Muar. Semasa Penghulu Naam masih kecil, segala tanggungjawab hal ehwal penghulu telah dipangku sepenuhnya oleh ayah beliau iaitu Dato' Baginda Maharaja Khatib Akhir. Apabila ada sahaja Datuk-Datuk mahupun rakyat yang datang mengadap Penghulu, maka haluan sembahnya itu tadi berdatang kepada beliau sambil Penghulu Naam duduk dipangkuannya. Atas jasa dan perngorbanan ini jugalah maka menjadi salah satu faktor beliau dikurniakan gelaran Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'.

          Suku Seri Lemak Pahang adalah merupakan salah satu suku yang terbesar di Luak Ulu Muar. Ini adalah kerana, terdapat 6 perut yang berkembang di dalam suku ini antaranya ialah Perut Merual, Perut Kuala Parit Terachi, Perut Kampung Tengah, Perut Pilah, Perut Seberang Muar, dan Perut Pelangai. Setiap daripada perut ini diketuai oleh seorang Buapak yang mana organisasinya adalah seperti berikut:

Suku: Suku Seri Lemak Pahang, 

Datuk Lembaga: Y.M Datuk Baginda Maharaja 'Serampu Lembaga dan Haluan Sembah'

Buapak Perut Merual: To' Maharaja Kanda
Buapak Perut Kuala Parit TerachiTo' Paduka Maharaja
Buapak Perut Kampung Tengah: To' Amar Pahlawan
Buapak Perut Pilah: To' Paduka Seri Maharaja
Buapak Perut Seberang Muar: To' Paduka Seraja
Buapak Perut Pelangai: To' Paduka Serama

        Selain daripada Buapak terdapat juga jawatan lain yang membantu dalam melicinkan pentadbiran didalam suku iaitu Besar Waris ataupun Pegawai 99. Setiap perut di dalam suku ini mempunyai Besar Waris sekurang-kurangnya seorang. Selain dari membantu buapak, mereka juga sebenarnya adalah merupakan hulubalang istana yang mana mereka mempunyai tugas-tugas khas di Istana seperti hari ulang tahun D.Y.M.M Tuanku Yang DiPertuan Besar, hari Pertabalan Tuanku dan lain-lain.

Besar Waris Perut Merual: i)   To' Mangku
                                          ii)  To' Satey
                                          iii) To' Jonso
Besar Waris Perut Kuala Parit Terachi: i) To' Niko
Besar Waris Perut Kampung Tengah: i) To' Menteri Hakim
Besar Waris Perut Pilah: i) To' Gompo
                                      ii) To' Alang
Besar Waris Perut Seberang Muar: i) To' Memperang
Besar Waris Perut Pelangai: i) To' Raja Pahlawan
                                           ii) To' Hakim Menteri

Gambaran organisasi Suku Seri lemak Pahang

Pemegang secara kronologi

Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar juga mempunyai satu lagi jawatan pemangku Datuk Lembaga iaitu To' Mangku. Peranan To' Mangku kebiasaanya menggantikan tugas-tugas Datuk Lembaga sekiranya berlaku keuzuran atau perkara yang tidak dapat dielakkan untuk satu tempoh masa yang lama. Untuk melantik To' Mangku, selalunya akan dipilih dari Perut Merual kerana perut ini adalah merupakan yang tua dikalangan perut-perut yang lain. Perut-perut yang dinyatakan seperti di atas sebenarnya ada pertalian antara satu sama lain seperti berikut:

Perut Merual 'bertali' dengan Perut Kuala Parit Terachi
Perut Kampung Tengah 'bertali' dengan Perut Pilah dan
Perut Ulu Muar 'bertali' dengan Perut Pelangai

Sungguhpun begitu, setiap dari perut itu adalah bersaudara dan tetap dari alur yang sama.

          Datuk Lemabaga Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar jni juga adalah merupakan salah seorang 'Orang Besar Luak'. Ini adalah kerana peranan Datuk Baginda Maharaja sebagai orang yang berkait rapat dengan keluarga Penghulu Luak Ulu Muar seperti yang telah diceritakan di atas. Seperti suku-suku yang lain, perlantikan Datuk Lembaga juga adalah mengikut giliran. Sebagai contoh, Perut Merual adalah yang paling awal dan kemudiannya akan pergi ke Perut Kuala Parit Terachi dan seterunya ke Perut Kampung Tengah dan kemudiannya ke Perut Pilah. Kemudian itu diikuti pula dengan Perut Seberang Muar dan akhir sekali adalah Perut Pelangai. Aturan ini akan berulang kepada yang awal apabila telah lengkap pusingan tersebut. Walaubagaimanapun ianya bergantung kepada perut yang bertali dan juga keadaan calon. Sekiranya Perut Merual tiada calon yang memohon maka Perut Kuala Parit Terachi boleh memohon begitu jugalah sebaliknya. Semuanya ini bergantung kepada kemuafakatan antara Ibu-Ibu Soko dan Anak Buah sesuai dengan perbilangan adat menyatakan:

"Bulat air kerana pembetong
 Bulat manusia kerana muafakat"

Kesepakatan sebegini amatlah perlu untuk mengelakkan wujudnya sebarang pertelagahan mahupun pertikaian antara satu sama lain dalam memutuskan sesuatu hal-hal yang berkaitan.

* Suku Seri Lemak Pahang Dato' Baginda Maharaja dan Suku Seri Lemak Pahang Dato' Bangsa Balang Dibolehkan semenda menyemenda antara satu sama lain. 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Info yang menarik, terima kasih

 
Blogger Templates