Social Icons

Rabu, Mac 19, 2014

JEJAK - PANGLIMA DATO' RAJA PATI MOHAMED


Dato' Raja Pati Mohamed. Gambar dihadapan rumah beliau sekitar Julai 1940

Dato Raja Pati Mohamed Bin Ismail Bin Ibrahim P.P.N di lahirkan di Pelangai Kuala Pilah sekitar tahun1852. Beliau dari sebelah ibunya adalah dari Suku Sri Semelenggang Naning, iaitu salah satu suku dalam adat Pepatih yang berasal dari Negeri Naning. 

Keris Sepukal Tok Wak
Pada zaman mudanya beliau tidak jemu untuk merantau dan menuntut ilmu agama dan kebatinan dan beliau adalah merupakan rakan sepeguruan Mat Kilau dan Dato Bahaman ketika bersama-sama menuntut dengan Tuan Guru Syed Abdul Rahman di Jenderak Pahang. Selain pada itu beliau juga pernah beberapa kali mengunjungi Tuan Guru Hj Mat Hasan Bin Panglima Munas atau Tok Janggut untuk bertukar pendapat tentang sesuatu ilmu. Keakraban beliau dengan Tok Janggut sehingga beliau dihadiahkan sebilah keris oleh Tok janggut sebagai tanda persahabatan.


Saya ada melakukan carian berhubung dengan siapakah Tuan Guru Syed Abdul Rahman ini, hanya terdapat 2 tokoh yang ada berhubung kait dengan Dato Bahaman, Mat Kilau dan Negeri Pahang. Pertamanya, Syed Abdul Rahman  yang terlibat dalam perang saudara di Pahang dan kemudian berundur dan membuka Telok Ramunia. Keduanya adalah Tuan Guru Syed Abdul Rahman Al Idrus  atau lebeh dikenali sebagai Tokku Paloh, seorang ulama bertaraf wali yang cukup terkenal itu.
Mengiringi Yamtuan Besar Tuanku Muhamad  Negeri Sembilan 
ke persidangan Durbar 20 Julai 1903.

Dato Raja telah melalui beberapa zaman pemerintahan Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan pernah menjawat beberapa jawatan antaranya menjadi pegawai raja pegawai 99 kepada Yamtuan Antah dan Panglima kanan kepada Yamtuan Tuanku Muhammad sehinggalah kepada Yamtuan Tuanku Abdul Rahman. Beliau turut terlibat dalam perang bukit putus bersama-sama Dato Siamang Gagap. Pernah diceritakan bahawa ketika meletusnya perang itu, beliau telah menunjukan kehebatannya dengan mencabut batang pokok pinang hutan dengan hanya menggunakan tangan dan kemudian melemparkan nya kepada tentera Syed Aman yang dibantu oleh Inggeris menyebabkan ketumbukan tentera Syed Aman menjadi kucar kacir sehingga mereka berundur ke paroi.  Beliau memang  dikenali oleh pehak penjajah dan masyarakat setempat dan khususnya penduduk Sri Menanti, Pelangai, Senaling hingga ke Johol. Dato Raja telah di lantik oleh Yamtuan Tuanku Muhamad untuk memantau pembinaan jalanraya di Bukit Putus oleh pehak British sekitar tahun 1920an. Diceritakan ketika itu sebuah Steamroll telah jatuh kedalam sungai dan beliau kemudian telah menariknya seorang diri dan meletakannya ditempat asal!! Malah  Pendekar Bulin pula  ada menceritakan bahawa Dato Raja pernah menghentakkan kakinya di tambak Johor menyebabkan tambak itu bergegar pula. Antara jasa Dato Raja yang dilupakan ialah sebenarnya beliaulah yang telah mencadangkan sembilan tangkai padi untuk dimasukan kedalam Jata Negeri Sembilan sebagai tanda pencantuman 9 negeri dalam satu perisai.

Antara rahsia yang sangat disimpan ialah hubungan beliau dengan pahlawan dari pahang iaitu Mat Kilau dan Dato Bahaman. Ini dibuktikan melalui surat yang ditulis oleh anaknya Dato Dewa Sura Hj Habib kepada Utusan Melayu ketika isu kemunculan kembali Dato Bahaman atau Tok Guru peramu (19 May 1972). Ketika itu Usia Dato Raja telah menjangkau 120 tahun dan beliau telah memberikan beberapa tanda untuk mengenalpasti akan identiti Tok Guru Peramu itu. Dato Raja jugalah yang telah memberikan tanda-tanda pengenalan kepada Utusan Melayu ketika Mat Siam mengakui dirinya sebagai Mat Kilau. Tidak ramai yang tahu akan keakraban Dato Raja dan Pahlawan Mat Kilau. Mereka kerap berjumpa di hujung usia mereka sehingga dikatakan bahawa   Mat Kilau telah memakai nama Dato Raja dan anaknya iaitu Mohamed bin Ibrahim sehingga keakhir hayatnya. Sungguh menjadi kebetulan yang tersurat bahawa umur ketiga-tiga pahlawan ini adalah panjang dan sebaya, Ilmu dunia dan akhirat mereka itu adalah dari sama ijazah dan jalan, iaitu mengenal Allah dengan Allah, Tarikatnya qadariah, amal -amal dan gaya-gaya mengamalkan sama jua. Ini diakui dan dicertakan sendiri oleh anaknya.
Dato Raja Pati Mohamad (duduk 2 dari kiri) bersama 
anaknya Dato Dewa Sura Habib @ Ebrahim (baju hitam), 
Cucu serta Cicitnya. (Bemban sekitar tahun 1966)

Dato Raja Pati Mohamed menghembuskan nafas terakhirnya di Johol pada 24 November 1972. Diceritakan bahawa semasa hayatnya beliau mempunyai beberapa orang isteri yang berasal dari Dioh, Jemapoh, Pelangai, Kota Bahru Kelantan, Temerloh, Kg Sri Menanti Batu Pahat dan yang terakhir dari Kampung Pasit Johol, dimana beliau dimakamkan. Hanya dari isteri sebelah Senaling beliau mempunyai zuriat dan Dato Dewa Sura Habib adalah anak lelaki tunggalnya.


Sumber: http://habib-kzadzikry.blogspot.com/2011/05/blog-post.html

Isnin, Mac 03, 2014

Istiadat Kerjan YM Dato' Baginda Maharaja (Haluan Sembah), Lembaga Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar

Pada 1hb Mac yang lalu telah di adakan satu majlis kenduri beradat iaitu Istiadat Kerjan Dato Baginda Maharaja Haji Salleh bin Ahmad selaku Lembaga Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar yang baru. Istiadat dimulai dengan tembakan Lamat sebanyak 2 das sebagai tanda istiadat bermula.

1. Mengiringi Dato' Baginda Maharaja ke tempat Berlangir Bedak Limau adalah terdiri daripada Buapak-Buapak, Besar-Besar Waris dan juga Ibu-Ibu Soko serta anak-anak dara pengiring.








2. Istiadat Berlangir Bedak Limau adalah upacara memandikan Dato' Lembaga yang baru bagi tujuan untuk memberi kesegeran dan kecerian sebelum menggalas amanah sebagai ketua dalam suku). Seramai 6 orang Buapak iaitu dari Perut Merual, Kuala Parit Terachi, Kg. Tengah, Pilah/Parit Pilah, Seberang Muar (Penyandang) dan Pelangai berperanan untuk memandikan Dato Lembaga yang di Kerjankan. Pembuka bicara sebagai tanda majlis bermula telah di lafazkan oleh To' Paduka Seraja iaitu Buapak bagi perut yang menyandang.

To' Paduka Maharaja Buapak Perut Kuala Parit Terachi

To' Amar Pahlawan Buapak Perut Kg, Tengah

To' Paduka Seri Maharaja Buapak Perut Pilah

To' Seri Maharaja Buapak Parit Pilah

To' Paduka Seraja Buapak Perut Seberang Muar

To' Paduka Serama Buapak Perut Pelangai

* Buapak Perut Merual iaitu To' Maharaja Kanda tidak hadir atas hal-hal tertentu.
* Bagi Buapak Parit Pilah adalah dikira sebagai Perut Pilah. Jawatan ini diwujudkan atas sebab-sebab    yang tertentu. Walaupun terdapat 7 orang Buapak tetapi pada perkiraan asal hanyalah 6 orang sahaja.

3. Perarakan masuk Dato' Lembaga Nan Delapan dan juga Dato' Lembaga Tambahan bagi Luak Ulu Muar diiringi oleh Besar-Besar Waris yang juga merupakan Juak-Juak Penghulu dan juga anak-anak dara pengiring. (Tembakan 4 das Lamat)




4. Menyambut Ketibaan dan perarakan masuk Kebawah Kaus Y.M Dato' Penghulu Luak Ulu Muar Dato' Bendahara Setia Maharaja, Setia Maharaja Lela Pahlawan, Orang Besar Luak dan juga Dato' Lembaga Tiang Balai. Turut diiringi oleh Buapak-Buapak, Besar-Besar Waris dan anak-anak dara pengiring. (Tembakan 4 das Lamat)




5. Perarakan masuk Dato' Baginda Maharaja ke Rumah Telapak bagi istiadat pengisytiharan Hj. Salleh Bin Ahmad sebagai Dato' Baginda Maharaja oleh Buapak bagi perut yang menyandang iaitu To' Paduka Seraja (Lafaz isytihar dari To' Paduka Seraja dan ucapan Dato' Baginda Maharaja). Kemudian diikuti oleh istiadat Merafak Sembah oleh Buapak-Buapak, Besar-Besar Waris, Ibu-Ibu Soko dan juga anak-anak buah Suku Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar. Tembakan 4 das Lamat sebagai tanda upacara Merafak Sembah anak-anak buah bermula.


6. Setelah Selesai upacara Merafak Sembah, majlis diteruskan dengan makan beradat dan juga jamuan untuk sekalian yang hadir.

7. Akhir sekali ialah istiadat menurukan alat-alat kebesaran serta bendera-bendera bagi Luak Ulu Muar sebagai tanda istiadat telah selesai. (Tembakan 2 das Lamat)




* Berkenaan dengan Perut Kuala Parit Terachi ada yang menyebut sebagai:
     1. Perut Terachi - Kawasan yang agak besar dan sukar untuk dikenal pasti lokasinya.
     2. Perut Parit Terachi - kawasan Parit Terachi adalah dalam Luak terachi
     3. Perut Lanjut Manis Terachi - Tiada dijumpai dalam mana-mana buku.
Namun setelah dikaji dan diteliti, nama Perut Kuala Parit Terachi adalah yang paling bersesuaian kerana majoritinya adalah bersukukan Seri Lemak Pahang Luak Ulu Muar. Selain itu, JKKK Kuala Parit Terachi juga meliputi Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanjong Petai dan sebahagian kecil Kampung Ibol Terachi. 

 
Blogger Templates