Social Icons

Pages

Isnin, Februari 23, 2009

Tunku Ali dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti


TUANKU MUHRIZ berkenan menyerahkan watikah pelantikan Tuanku Besar Seri Menanti kepada Tunku Ali Redhauddin di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.

KUALA PILAH 22 Feb. – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan mengurniakan gelaran pusaka Tunku Besar Seri Menanti kepada putera sulung baginda, Tunku Ali Redhauddin.
Baginda mengurniakan gelaran tersebut kepada Tunku Ali, 31, pada Istiadat Pengurniaan Gelaran Pusaka Tunku Besar Seri Menanti di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti di sini.
Turut berangkat mengiringi baginda ketika istiadat pertabalan itu adalah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Semasa melafazkan watikah pelantikan itu, Tuanku Muhriz bertitah, baginda memuliakan putera sulung baginda dengan gelaran pusaka Tunku Besar Seri Menanti.
Dalam pada itu, sebaik saja Tunku Ali dikurniakan gelaran tersebut beliau telah disisipkan dengan sebilah keris serta melafazkan sumpah taat setia dan berikrar melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin kepada baginda.
Menurut kenyataan Istana Besar Seri Menanti, istiadat pelantikan itu diadakan untuk kali ketiga dalam tempoh 120 tahun di mana dua pemegang gelaran terdahulu iaitu Tuanku Muhriz dan Tunku Burhanuddin masing-masing menyandangnya selama 47 tahun dan 73 tahun.
Tunku Besar Seri Menanti ialah gelaran yang paling kanan di antara Putera Yang Empat. Lazimnya, penyandang gelaran tersebut merupakan anakanda kepada Yang Dipertuan Besar terdahulu atau yang bersemayam di atas takhta.
Tiga gelaran yang lain ialah Tunku Laxamana, Tunku Muda Serting dan Tunku Panglima Besar yang kini disandang oleh Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja‘afar, Tunku Imran Tuanku Ja‘afar dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja‘afar.
Turut hadir semasa pengurniaan tersebut ialah Undang Yang Empat, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta Ahli-ahli Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin negeri.
Selepas majlis di Balairong Seri, baginda berdua berangkat ke majlis santapan diraja sambil diiringi oleh Putera Yang Empat yang berlangsung di istana tersebut.

2 ulasan:

Admin berkata...

www.Ihcarslinks.Blogspot.ComI want to improve my blogs template please suggest what should i do to make to look better.

-MelingkarAlam- berkata...

you can setting your blog layout. change your new template and then try chose better coluring for your blog background and fonts.

 
Blogger Templates