Social Icons

Pages

Isnin, Oktober 05, 2009

Pertabalan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan

Kuala Pilah - Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz akan ditabalkan pada satu adat istiadat bersejarah, Oktober depan. Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang menyatakan istiadat tersebut akan diadakan di BalairongSeri Istana Besar Seri Menanti yang bermula 22 hingga 28 Oktober depan.Titah baginda, istiadat pertabalan akan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Oktober oleh Pegawai 99 diketuai oleh Datuk Seri Amar Diraja setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan...
"Selepas itu dua das tembakan meriam dilepaskan. Alat-alat kebesaran akan kekal terpasang di halaman istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan alat-alat kebesaran ini dilakukan pada 28 Oktober nanti," titah baginda dalam sidang bersama media di Majlis Pengisytiharan Adat Istiadat Pertabalan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11 di Istana Besar Seri Menanti semalam.
Istiadat Bersiram akan berlangsung pada 25 Oktober ini di mana Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud akan bersemayam atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada dan disusuli dengan lapan das tembakan meriam.
Istiadat diteruskan dengan Orang Empat Istana menyempurnakan Istiadat Bersiram denagn menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi DYMM sebanyak tujuh kali.
"Selepas itu, Tuanku berdua akan bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti serta disusuli oleh lapan das tembakan meriam," titah baginda.
Istiadat Pertabalan akan dilangsungkan pada 26 Oktober di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat Pertabalan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11 merupakan salah satu daripada tiga istiadat bersejarah di Negeri Sembilan pada tahun ini.
Sebelum itu, Tunku Ali Redhauddin bertitah, "semua pembesar adat perlu bersiap sedia memulakan kerja agar adat pertabalan dapat berjalan dengan lancar."
Sinar Harian MNS, 26 September 2009

Jumaat, Jun 05, 2009

Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Costantinople

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary r.a telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut...
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki–Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople. Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451–1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama'-ulama' dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama' dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulama' dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh. Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin. Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt. Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari. Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar. Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Jumaat, Mei 08, 2009

Sejarah Ringkas Askar Melayu Dalam Perang Dunia Kedua

Sejarah Tentera Darat Malaysia bermula dengan usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh anak-anak Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mengujudkan pasukan ini. Dalam tahun 1913 Almarhum DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Tuanku Antah, Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Almarhum YTM Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Dahan telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu. Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11.
Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda-pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanahair telah tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933.Skuad Pertama ini telah menjalankan latihan dengan gigih dan penuh tabah, dan pihak pegawai-pegawai British, selaku jurulatih sangat berpuas hati dengan kebolehan, kecekapan serta semangat keperwiraan yang ditunjukkan. Pada pertengahan tahun 1934, Kompeni Percubaan telah diistiharkan sebagai berjaya dengan cemerlangnya dan layak diperbesarkan ke satu batalion yang lengkap. Seterusnya buat julung kali, pada 4 Nov 1936, seramai empat pemuda anggota Skuad Pertama telah ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka adalah No. 8 Ariffin bin Haji Sulaiman, No. 12 Ibrahim bin Sidek, No 13 Ismail bin Tahar dan No. 25 Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman.
Dengan tercetusnya peprangan di Eropah pada 3 Sep 1939, latihan anggota Askar Melayu telah dipertingkatkan dan kekuatannya diperbesarkan. Pada 1 Dis 1941, Batalion Kedua Askar Melayu telah ditubuhkan bagi menghadapi serangan Tentera Jepun yang sedang mara. Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni tersebut berundur ke Kuala Krai dan seterusnya Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buona Vista, Labrador dan Alexander.Satu peritiwa yang sukar dilupai dalam sejarah Tentera Darat ialah peristiwatindakan Tentera Jepun menawan Bukit Chandu yang dipertahankan oleh Platun No. 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu yang diketuai oleh Lt Adnan bin Saidi. Tentera musuh, setelah gagal dalam percubaan yang pertama, mengulangi serangan dengan kekuatan yang berlipat ganda.
Di dalam pertempuran yang sengit ini, anggota Platun No. 7 telah berjuang dengan semangat yang gigih tanpa mengaku kalah. Lt Adnan sendiri mengandalikan senjata Lewis Machinegun dan mara mara untuk memberi semangat dan perangsang. Waklaupun mengalami kecederaan, namun beliau telah menunjukkan semangat untuk terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Akhirnya tentera musuh telah berjaya menawan Bukit Chandu dan Lt Adnan telah ditikam dengan benet dan mayat beliau digantung kepala ke bawah disebatang pokok.Satu lagi peristiwa yang menyayat hati berlaku pada 28 Februari 1942 apabila seramai 8 orang pegawai Askar Melayu, setelah menjadi tawanan perang dibunuh di Pasir Panjang disebabkan keengganan mereka menanggalkan pakaian seragam tentera mereka.Selain dari anggota-anggota Askar Melayu, ramai lagi anak-anak Melayu menceburkan diri sebagai anggota dalam Federation Volunteer Forces menentang tentera musuh dan ramai yang turut terkorban. Di samping itu ramai anak-anak Melayu yang berkhidmat dengan Tentera British seperti Royal Army Service Corps (RASC), Royal Army Ordnance Corps (RACC), Royal Artillery (RA) dan lain-lain pasukan yang turut berjuang.
Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Feb 1942 dan anggota Askar Melayu yang masih hidup telah menjadi tawanan perang. Apabila diperintahkan pulang ke kampong masing-masing ramai dari mereka meneruskan perjuangan menentang pemerintahan Jepun melalui pergerakan bawah tanah.

Khamis, Mei 07, 2009

Doa Keselamatan Dari Wabak

Marilah kita bersama-sama membaca Doa seperti yang terkandung di halaman blog Dato' Haji Mohd Murtadza berikutan dengan masalah wabak yang melanda dunia ketika ini. Wabak yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini ialah Selsema Babi. Dengan tiba-tiba sahaja nama wabak ini bertukar, mungkin disebabkan babi sudah tidak laku lagi dipasaran sejak kebelakangan ini, maka nama wabak ini ditukar kepada nama baru iaitu Influenza A (H1N1) seperti yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO). Walaubagaimanapun nama wabak ini tidak terlalu penting untuk difikirkan kerana apa yang lebih mustahak adalah untuk menghindarkan penyakit ataupun wabak ini dari terus merebak. Untuk itu sila layari halaman: http://hjmohdmurtadza.blogspot.com/2009/04/doa-keselamatan-daripada-wabak.html

Rabu, April 22, 2009

Watikah Perlantikan Mufti N.S Yang Baru

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyampaikan watikah perlantikan sebagai Mufti Kerajaan Negeri kepada Dato' Mohd Yusof Ahmad di Balai Kesenangan Merah, Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah, semalam. Mohd Yusof 64 , dilantik sebagai Mufti baru Kerajaan Negeri Sembilan berkuat kuasa 1 April lalu menggantikan Dato' Mohd Murtadza Ahmad.
Kepada Dato' Mufti yang lama iaitu Dato' Mohd Murtadza, diharap beliau akan sentiasa meneruskan perjuangannya seperti mana sewaktu beliau masih lagi menjadi mufti di Negeri Sembilan. Diharap juga selepas ini beliau akan lebih aktif lagi dalam usaha beliau untuk menyampaikan ilmu agama terutamanya kepada rakyat di negeri ini. Beliau adalah merupakan mufti yang cukup disenangi rakyat akan tetapi disebabkan ada pihak yang tidak menyukai beliau maka beliau diketepikan. Orang yang membuat penginayaan kepada ulama yang kita ketahui kedudukannya sebagi perwaris nabi, mereka-mereka ini akan mendapat pengajarannya kelak.
 
Blogger Templates